Monday, June 23, 2008

BUDAYA SAMSENG DI SEKOLAH

OLEH : ADIK MAT BIN DERAHMAN

Pendahuluan

Apabila menyebut tentang budaya samseng maka terlintas sekilas di ingatan tentang suatu bencana yang mengemparkan negara ini apabila seorang pelajar sekolah agama mati dipukul oleh pelajar senior baru-baru ini. Penularan gejala negatif di sekolah-sekolah semakin meruncing pada akhir-akhir ini menyebabkan institusi pendidikan yang dipandang mulia selama ini mula goyah apabila tidak lagi boleh memberi jaminan kualiti pelajar yang baik kepada masyarakat dan negara. Menurut Mohd Feroz Abu Bakar, “masalah disiplin di kalangan pelajar menengah yang menjadi isu hangat sejak kebelakangan ini memerlukan pendedahan rapi dari semua aspek, bermula daripada ekonomi hinggalah kepada aspek sosial”.
Pelbagai bentuk gejala negatif telah dibawa ke dalam sekolah yang telah membentuk satu budaya yang lebih dikenali sebagai budaya samseng. Institusi pendidikan yang selama ini disanjung tinggi sebagai tempat menimba ilmu dan sebuah institusi yang selamat pada pandangan masyarakat kerana mempunyai kawalan yang ketat, guru-guru yang berpengalaman, pengurusan yang baik di samping kemudahan fizikal yang mencukupi kini telah berubah bentuk dan corak. Pelbagai persoalan timbul apabila budaya samseng mula menetap di sekolah-sekolah yang selama ini mempunyai kawalan disiplin yang ketat. Menurut Mamat Jusoh, “perangkaan yang dikeluarkan pada bulan Ogos 1999 menunjukkan terdapat 0.60 peratus pelajar iaitu 17,495 sekolah rendah dan 3.26 peratus atau 62,140 pelajar sekolah menengah terlibat dengan kegiatan salah laku”.

Konsep Budaya Samseng Di Sekolah

Orang Melayu memang kaya dengan tatasusilanya. Bertiangkan agama dan bersendikan adat, kita dididik supaya menjadi insan yang berguna. Hormat orang tua, hormat guru dan hormat keluarga. Lebih mudah lagi kita juga biasa mendengar ungkapan iaitu yang tua dihormati yang muda disayangi tetapi budaya kini semakin lama semakin pudar. Paling ketara, guru atau cikgu yang dulu disanjungi malah ditakuti, kini semakin tidak dihormati manakala peraturan sekolah dulu diikuti, sekarang peraturan sekolah sewenang-wenang diingkari. Kita dapat melihat setiap sekolah yang ada di rantau Asia ini mahupun di pelusuk dunia ini 80 peratus daripada masalah yang dihadapi oleh setiap sekolah ialah masalah disiplin iaitu gejala salah laku pelajar yang serius. Menurut Sazali, “isu samseng telah hidup di sekolah-sekolah tidak kira di mana-mana sahaja”.
Kemerosotan disiplin pelajar terutamanya pelajar sekolah menengah perlu dipandang serius oleh semua pihak supaya ia tidak berlanjutan. Malah sikap terbuka sesetengah sekolah yang mendedahkan kes salah laku pelajar mereka perlu dipuji dan dicontohi. Jika disorok sampai bila pun masalah ini tidak dapat diselesaikan dan para guru terpaksa berdepan dengan pelajar yang bermasalah. Salah laku yang ditunjukkan oleh pelajar banyak ragam seperti datang lambat ke sekolah, ponteng kelas, mencalarkan kereta guru, tidak memakai lencana sekolah dan tidak menghormati guru. Semuanya melibatkan masalah disiplin yang kecil dan masih boleh diperbaiki di mana boleh dikatakan pelajar ini adalah pelajar nakal. Tetapi lain pula halnya dengan memukul guru, mengugut bunuh, merokok, menghisap dadah atau ganja, merompak dan banyak lagi yang belum didedahkan. Ini bukan lagi perbuatan nakal, ini namanya samseng atau gangster. Bukan seorang dua yang membuat kerja ini tetapi semestinya berkumpulan. Kumpulan inilah yang dikatakan kumpulan samseng. Dari samseng kecil-kecilan akhirnya menjadi kongsi gelap. Biasanya pelajar-pelajar yang tidak lagi berminat untuk belajar apatah lagi memikirkan masa depan. Segala nasihat yang diberikan tidak diterima pakai umpama mencurah ais di daun keladI.

Punca Berlakunya Gejala Samseng Di Sekolah

Sejarah silam membuktikan bahawa guru-guru dahulu amat dihormati oleh masyarakat. Mereka sememangnya tegas terhadap anak-anak murid mereka dan lihatlah hasilnya hari ini di mana anak-anak didik mereka telah meletakkan Malaysia ke tahap memuaskan pada hari ini. Namun hari ini anak-anak murid tidak lagi menghormati guru-guru sebagaimana suatu masa dahulu. Kebanyakan pelajar yang sering melakukan masalah adalah mereka yang kehidupannya terbiar bebas atau terlalu dimanjakan oleh ibubapa. Inilah antara punca-punca masalah disiplin remaja hari ini. Ibubapa yang sibuk di dalam kerjaya sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga adalah di antara punca masalah ini yang telah dikenalpasti. Ini telah menyebabkan anak-anak yang masih belum mengenal dunia sebenar telah terjebak di dalam masalah sosial. Ada juga ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga mengabaikan anak-anak di rumah. Menurut Dr. Rosnani, “masalah disiplin dikalangan pelajar kini mempunyai perkaitan dengan jumlah ibu dan bapa yang terlalu banyak masa berada di luar rumah berbanding waktu digunakan untuk memberi perhatian kepada anak-anak”. Katanya lagi, “ remaja yang kurang berinteraksi dengan ibu bapa akan beralih kepada rakan mereka, termasuk menubuhkan kumpulan ala-gengster dan menjalankan kegiatan yang menyalahi peraturan sekolah”.
Ibubapa yang terlalu memanja anak sering menimbulkan masalah kepada pihak sekolah. Kebiasaannya mereka lebih mudah terpengaruh dengan dakwaan anak mereka dan kawan-kawannya apabila anak mereka dihukum. Sedangkan dakwaan anaknya belum tentu benar. Ibubapa seperti ini adakalanya sanggup bertindak apa sahaja sehingga ke pihak atasan ataupun melakukan apa sahaja termasuk memalukan guru tersebut di dada-dada akhbar. Ini juga merupakan masalah kepada pihak sekolah untuk mendisiplinkan murid-murid sekolah. Sikap sebegini juga telah memberi tekanan kepada guru-guru untuk
menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik. Kebanyakan guru-guru berpengalaman berpandangan masalah ini semakin meruncing perubahan hukuman dilaksanakan suatu masa dahulu. Hukuman gantung persekolahan yang selama ini dilaksanakan tidaklah sesuai memandangkan terdapat pelajar yang digantung ada diantaranya tidak langsung
diketahui oleh ibubapa. Pelajar ini keluar ke sekolah seperti biasa, kemudiannya bertukar pakaian dan pergi lepak di pusat membeli belah serta bergaul dengan individu yang lebih rosak akhlaknya. Hukuman rotan pula hanya sekadar memberi sakit yang sementara kepada pelajar. Mereka akan kembali melakukan sikap negatif tersebut setelah sakit tersebut lupa daripada ingatan mereka.
Kelas yang sesak juga adalah punca yang menyebabkan masalah samseng wujud di sekolah, bilangan murid yang terlalu ramai di dalam kelas dan sesak, dikenalpasti menjadi salah satu punca meyebabkan meningkatnya kegiatan samseng dan masalah disiplin pelajar. Menurut Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK), Abu Bakar Shawkat Ali, “murid yang terlalu ramai dalam satu kelas menyebabkan guru tidak boleh memberi tumpuan sepenuhnya terhadap murid”. Beliau berkata lagi, “ apabila guru kurang memberi tumpuan terhadap kelas, sudah tentu murid akan menjadi liar, sekali gus menimbulkan masalah disiplin di kalangan pelajar”. Perkara ini telah dibincangkan dan akan dibawa ke Kementerian Pelajaran. Menurut Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Hishammuddin Tun Hussein, “beliau akan membincangkan isu ‘kelas sardin’ ke peringkat kementeriannya sebelum sebarang langkah mengatasinya diambil”. Menurut beliau lagi, “ perkara tersebut perlu dikaji terlebih dahulu supaya tindakan yang bakal diambil mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi”.

Kesan Budaya Samseng Di Sekolah

Negara mungkin gagal melahirkan satu bangsa yang berjiwa merdeka jika gagal mengatasi masalah ini kerana gejala buli dan samseng yang wujud dalam sistem persekolahan kini merupakan satu budaya yang diwarisi. Anak-anak juga akan menghadapi kesukaran untuk menimba ilmu kerana wujudnya satu persekitaran yang tidak membantu mereka untuk belajar dalam suasana yang kondusif. Begitu juga dengan prinsip keutuhan budaya dan moral. Jika segelintir pelajar masih lagi bersikap suka membuli dan tiada ikhtiar yang bersepadu untuk menyelesaikannya secara berkesan, lambat laun takut bangsa Malaysia akan menjadi satu bangsa yang kasar dan akan dikenali sebagai satu bangsa yang tidak beretika. Budaya buli merupakan satu kezaliman yang menyebabkan mangsanya akan mengalami gangguan mental dan fizikal yang berterusan. Apatah lagi jika ia berlaku di kalangan pelajar sekolah yang sepatutnya memanfaatkan masa muda mereka dengan menuntut ilmu. Tiada guna jika para pelajar hanya mencapai kecemerlangan daripada segi akademik sahaja sedangkan sahsiah mereka berada di dalam kegawatan. Masyarakat perlu pastikan mereka bukan sahaja cemerlang dalam pencapaian akademik, tetapi pada masa yang sama mempunyai keperibadian yang unggul.

Cara Atasi Masalah Samseng Sekolah

Semakin banyak diperkatakan mengenai disiplin pelajar, semakin banyak kes baru membabitkan salah laku disiplin timbul. Ada yang bergaduh sesama sendiri, ponteng, mengugut guru, merokok dan pelbagai salah laku lain berlaku hampir setiap hari hingga memeningkan semua pihak terutama pengetua, guru disiplin dan ibu bapa. Tambahan pula dengan peraturan baru, merotan tidak lagi dibenarkan. Mungkin jika merotan dibenarkan, sebahagian masalah ini dapat diselesaikan. Walaupun menyakitkan atau memalukan, ia lebih baik kerana kesakitan yang dirasakan akan tertanam dalam jiwa pelajar yang melakukan kesalahan untuk tidak mengulangi kesalahan sama pada masa depan. Pada masa sama, pelajar lain tidak berani meniru atau melakukan kesalahan disiplin kerana mereka tahu hukuman yang dikenakan. Tetapi, Kementerian Pelajaran melihat kaedah itu tidak lagi sesuai kerana ia akan menyebabkan pelajar yang dirotan berasa rendah diri, menyendiri atau bertindak lebih agresif. Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Kamarudin Ali, “hukuman rotan memang mudah dijalankan tetapi ia tidak semestinya boleh menangani masalah disiplin pelajar. Hukuman rotan boleh mendatangkan kesan buruk kepada banyak pihak seperti kes kebakaran sekolah yang berpunca daripada tindakan membalas dendam”. Apa yang paling menakutkan ialah tindak balas ibu bapa yang boleh menyaman guru dan sekolah jika menganggap tindakan merotan anak mereka didapati menyalahi peraturan sekolah. Itu semua andaian dan ia akan terus menjadi andaian tanpa melakukan kajian menyeluruh.
Sepatutnya, kementerian membuat kajian terperinci dan mendapatkan pandangan pelbagai pihak terutama pakar pendidikan remaja, psikologi, pengetua dan guru disiplin serta menemubual pelajar bermasalah yang pernah dihukum rotan. Jadi apakah kaedah terbaik untuk mendisiplinkan pelajar kita?. Adakah dengan memberi mereka kaunseling atau ada kaedah lain. Menurut Pengarah Bahagian Sekolah Kementerian Pendidikan, Abdul Rauf Hussien berkata, “Kementerian Pendidikan akan menempatkan guru kaunseling sepenuh masa di sekolah di seluruh Negara, sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengatasi masalah disiplin pelajar”. Semua sekolah sudah ada guru kaunseling tetapi salah laku disiplin pelajar masih ditakuk lama. Ini menunjukkan kaedah kaunseling juga sedikit sebanyak gagal. Mungkin ada yang berjaya tetapi kadar kejayaan tidak seimbang dengan yang gagal diberi kaunseling. Menurut Muhammad Hisyam Bin Mohamad, beliau berkata “Kementerian sudah mewujudkan jawatankuasa disiplin pada peringkat induk bagi mengatasi masalah disiplin pelajar dengan mencadangkan pelajar diberi lebih banyak pendedahan dalam kokurikulum di sekolah. Dengan cara ini, mereka akan lebih ‘sibuk’ menyertai kegiatan pasukan beruniform atau bersukan. Apa yang boleh dibuat adalah menunggu dan melihat hasilnya sama ada perlu diubah lagi pendekatan itu atau membaiki sistem sedia ada.”. Justeru itu, kita berpendapat kawalan yang lebih ketat wajar dilaksanakan di sekolah. Selama ini pihak berkuasa sekolah tidak serius melaksanakan undang-undang, suka bersikap lepas tangan dan saling menunding jari diantara satu sama lain. Menurut Naib Canselor, Universiti Industri Selangor, Prof Datuk Dr kamarudin Kachar, “ setiap sekolah sepatutnya mempunyai sekurang-kurangnya seorang guru yang mahir dalam pengurusan disiplin untuk menangani tingkahlaku pelajar yang kompleks akibat tempoh peralihan daripada zaman kanak-kanak kepada dewasa”.
Kaedah Psikologi yang bersesuaian mampu mengatasi masalah tetapi tiada jaminan ianya berkesan kepada semua pelajar. Di sebalik hukuman tersebut mungkin pihak kementerian dan sekolah perlu memikirkan untuk mengadakan program kesedaran intensif yang menekankan agama dan moral kepada pelajar terbabit sebagai tambahan kepada hukuman rotan atau sebagainya. Punca pelajar bersikap demikian perlu dikenalpasti kerana kebiasaannya pelajar yang bersikap sebegini mengalami masalah di rumah. Mungkin perceraian ibubapa, terbiar dan sebagainya.
Kerajaan juga perlu mengkaji kemungkinan untuk mengubal undang-undang yang memberi perlindungan kepada guru daripada ancaman ibubapa yang menganggu gugat tugas atau kehidupan harian. Terdapat ibubapa yang semakin berani mengugut guru kerana menghukum anaknya walaupun terbukti anaknya bersalah. Sebaik-baiknya undang-undang ini hanya membenarkan ibubapa masuk campur di dalam hal akademik sahaja. Hal-hal disiplin, pentadbiran dan sebagainya tidak dibenarkan ibubapa campurtangan.
Begitu meruncing masalah disiplin pelajar zaman sekarang sehinggakan para pengetua dan guru diberi kuasa polis untuk menangani masalah samseng sekolah ini. Pihak polis akan mengkaji kemungkinan memberikan pengetua dan guru kuasa polis bantuan sebagai langkah membanteras kegiatan samseng di sekolah. Langkah ini dijangka akan memberi kesan tidak langsung kepada pelajar terbabit dalam kegiatan jenayah kerana menyedari kehadiran pegawai polis di kawasan sekolah yang sentiasa memerhatikan mereka. Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Jamil Johari, “katanya pihak polis akan mengkaji apa yang diperlukan oleh pihak sekolah. Jika kuasa polis bantuan diperlukan, pihak polis akan mempertimbangkannya”.

Kesimpulan

Ingatlah satu pesanan yang menyatakan bahawa walaupun miskin dan duduk di rumah yang kecil, tidak semestinya ilmu dan akal budi juga miskin. Oleh yang demikian, gejala salah laku di kalangan remaja amnya dan pelajar khasnya dapat diatasi sekiranya semua pihak tahu peranannya. Peranan pihak kerajaan termasuk polis dalam usaha membendung samseng tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada ibu bapa atau pelajar itu sendiri. Walaupun guru bertanggungjawab dalam memberikan pendidikan formal, tidak semestinya mereka juga bertanggungjawab memastikan semua pelajarnya tidak melakukan perbuatan-perbuatan yang menyalahi undang-undang sekolah. Mengenai guru disiplin diberi kuasa polis patut digunakan sepenuhnya jika terdapat salah laku yang serius di sekolah. Tanggungjawab guru juga berat, beban terpikul dibahu semua guru, bukan hanya guru disiplin ataupun guru agama sahaja malah melibatkan semua guru. Ini kerana guru dianggap sebagai role-model dan bukannya musuh pelajar. Begitu juga ibu bapa, ibu bapa seharusnya memberikan perhatian terhadap tingkah laku anak mereka dari segi akhlak dan moral. Anak diibaratkan kain putih yang suci dan bersih dan ibu bapalah yang akan mencorakkan mereka. Apapun yang berlaku, pelajar itu sendiri wajar menginsafi diri. Justeru itu , semua pihak perlu berganding bahu membantu pihak sekolah untuk merancang segala aktiviti ke arah pembangunan sahsiah pelajar. Pelajar sekolah juga perlu mengarap langkah-langkah ke hadapan bagi memastikan maruah sekolah dijaga dan sentiasa mengadakan interaksi dengan guru-guru untuk merancang aktiviti sekolah. Peranan ibu bapa dalam sesebuah masyarakat amat penting begitu juga mengawasi tingkah laku anak-anak mereka di sekolah.

Bibliografi

Muhammad Hisyam Bin Mohamad (2005). Buli tidak selaras dengan pendekatan Islam Hadhari. Diperoleh pada Febuari 22, 2007 daripada http://www.ikim.gov.my/v5/index.php.

Wan Azreena Wan Jaafar (2003). Anak perlu dibimbing tapis mesej di televisyen. Diperoleh pada Febuari 29, 2007 daripada http://portalilmu.kempen .gov.my/index.php?ch=12.

Hapuskan budaya samseng sekolah. (2005, Jun 4). Diperoleh pada Febuari 27,2007 daripada http://www.malaysia-today.net/Blog-s/surat_archive.htm.

Sazali (2003). Isu samseng di sekolah. Diperoleh pada Febuari 27, 2007 daripada http://www.epekak. Net.my/bicara_sazali/2003/09_samseng.htm.

Datuk Kamarudin Ali (2000). Merotan pelajar tidak boleh atasi masalah disiplin. Dalam Pendidikan Sekolah, 14.

Mamat Jusoh (2000, Julai 4). Sekat kegiatan ponteng di kalangan. Dalam Pendidikan Sekolah, 2.

Abdul Rauf Hussien (2000). Guru kaunseling sepenuh masa di sekolah rendah. Dalam Pendidikan Sekolah, 26.

Mohd Feroz Abu Bakar (2002). Latihan khusus untuk urus disiplin. Dalam Pendidikan Sekolah, 21.

Rahman Hashim (2000). Kelas sesak punca samseng. Dalam Pendidikan Sekolah, 13.

Datuk Jamil Johari (2000, Jun 1). Pengetua, guru mungkin diberi kuasa polis bantuan. Berita Harian, 1&2.

No comments: