Monday, June 23, 2008

PERKEMBANGAN IKS DI MALAYSIA

OLEH : ADIK MAT BIN DERAHMAN

PENGENALAN

Dalam era peralihan abad ke-21, institusi perniagaan dan perniagaan menjadi semakin kompleks dan menuntut pemikiran yang kreatif sebagai seorang usahawan. Kebijaksanaan mengambil peluang dan mempelbagaikan bidang perniagaan atau perusahaan, pengumpulan modal, mengenal pasti pelaburan yang berpotensi serta mencari keuntungan adalah sifat utama yang harus ada kepada setiap usahawan yang berjaya. Sebelum mengambil risiko terbabit dalam bidang perniagaan yang penuh mencabar ini, seseorang usahawan hendaklah menganalisis setiap masalah yang bakal dihadapi dan cara penyelesaiannya sebelum memulakan perniagaan baru. Ini adalah bertujuan untuk menjadikan mereka bersiap sedia dengan apa yang bakal dilalui oleh mereka sebelum dan selepas menubuhkan perniagaan baru.
Industri kecil dan sederhana (IKS) memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara. Sejak kebelakangan ini kesedaran mengenai peranan dan sumbangan industri kecil dan sederhana oleh pelbagai pihak semakin tinggi. Pelbagai program dalam meningkatkan pembangunan industri kecil dan sederhana turut dirangka dan dilaksanakan oleh agensi dan institusi kerajaan mahupun swasta dalam mempastikan perkembangan pesat industri kecil dan sederhana. IKS bukan sahaja wujud sebagai pelengkap kepada industri berat di negara maju seperti Jepun, Jerman, Itali dan Amerika Syarikat, tetapi telah dianggap sebagai penggerak pembangunan di negara-negara sedang membangun. Jepun adalah diantara negara yang memberi penekanan kepada pembangunan IKS sejak zaman revolusi perindustrian pada akhir abad ke 19 (Madeline Berma & Faridah Shahadan 1989).
Kebanyakan negara beranggapan IKS pada keseluruhannya sebagai penggerak utama proses perindustrian mereka, lantaran itu kebanyakan negara membangun seperti Malaysia telah menjadikan IKS sebagai salah satu strategi untuk mengubah ekonomi menjadi negara perindustrian. Peranan yang dimainkan oleh IKS sebagai industri sokongan dan pelengkap terhadap kegiatan ekonomi negara. Ia merupakan faktor penting dalam proses menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian. Kerajaan sentiasa memandang berat terhadap peranan yang dimainkan oleh IKS dan sentiasa mengubal dan menggariskan dasar-dasar tertentu untuk memastikan perkembangan IKS berjalan dengan lancar. Kerajaan memberi penekanan yang lebih dalam usaha mempertingkatkan keupayaan IKS untuk membekalkan bahan pengeluaran yang diperlukan oleh perusahaan besar dan untuk menembusi pasaran eksport. IKS terus digalakkan dan terus dipertingkatkan supaya terus menjadi kompenan penting dan berdaya maju dalam mewujudkan rantaian dan sokongan antara industri.

DEFINISI PERNIAGAAN

Perniagaan boleh didefinisikan sebagai sesuatu proses pertukaran barangan atau perkhidmatan diantara dua pihak atau lebih bagi mendapatkan keuntungan. Disini sesebuah organisasi akan menyediakan atau mengeluarkan produk dan perkhimatan yang dingini pengguna. Tanpa mengira apa bentuk perniagaan, sama ada mengeluarkan barangan ataupun menyediakan perkhidmatan, asas mereka ialah untuk mendapatkan keuntungan. Perniagaan adalah dianggap sebagai satu proses apabila perniagaan itu berfungsi melalui pertukaran harta dengan harta di atas persetujuan penjual dan pembeli mengikut cara-cara yang diizinkan oleh syarak (Syed Sabiq,1987). Perniagaan juga dikatakan sebagai pertukaran barang dengan wang yang bertujuan untuk mendapatkan keuntungan (Al-Shaybani,1960). Perniagaan adalah satu usaha yang teratur oleh individu atau beberapa individu bagi mengeluar dan menjualkan barangan dan perkhidmatan yang boleh memuaskan keperluan masyarakat untuk tujuan keuntungan (Pride, Hughes & Kapoor,1993).

DEFINISI IKS DI MALAYSIA

Di Malaysia, IKS umumnya didefinisikan berdasarkan kriteria kuantitatif yang tertentu seperti bilangan pekerja, jumlah modal, jumlah aset dan jumlah jualan. Namum setiap organisasi yang berlainan cenderung untuk mencapai tanggapan dan definisi tersendiri tentang IKS. The Coordinating Council for development Small-scale Industri (CCDSI) yang mewakili Jabatan Perusahaan Kecil, Kementerian Perusahaan dan Perindustrian mendefinisikan IKS sebagai perusahaan dengan aset tetap kurang dari RM250,000 atau dana pemegang saham tidak melebihi RM250,000. di bawah Industrial Coordination Act 1975 (Amendment 1986), promotion of Investment Act 1986 dan termaktud dalam garis panduan pinjaman Bank negara Malaysia menyatakan IKS sebagai perusahaan dengan aset atau dana pemegang saham yang tidak melebihi RM2.5 juta (Malaysia, 1998). Di bawah definisi ini firma dengan dana pemegang saham kurang daripada Rm500,000 dianggap kecil, manakala firma dengan dana pemegang saham diantara Rm500,000 hingga RM2,500,000 dikategorikan sebagai bersaiz sederhana.
Satu lagi definisi IKS di malaysia diberikan oleh bekas Jabatan Industri Skala Kecil, Kementerian perusahaan dan Perindustrian iaitu sesebuah perusahaan dengan aset atau dana pemegang saham diantara RM500,000 sehingga RM2,500,000 dan mengajikan pekerja sepenuh masa seramai 5 hingga 100 orang diklasifikasikan sebagai IKS. Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGCMB) yang ditubuhkan pada 5 Julai 1972, untuk memberikan jaminan ke atas pinjaman yang diberi oleh institusi kewangan mendefinisikan IKS sebagai perusahaan yang mempunyai aset bersih kurang dari RM500,000 dan sekiranya syarikat berhad, dana pemegang saham mestilah kurang daripada RM500,000.
Small and Medium-sized Industry Development Corporation (SMIDEC), yang menggantikan Jabatan Industri Skala Kecil, Kementerian Perusahaan dan Perindustrian mempunyai definisi berlainan tentang IKS. SMIDEC mengklasifikasikan dan menginterpretasikan perusahaan perniagaan sebagai perusahaan perniagaan bersaiz kecil ialah perusahaan yang mempunyai modal berbayar kurang daripada RM500,000 dan mengajikan pekerja tidak melebihi 50 orang. Manakala perusahaan bersaiz sederhana ialah perusahaan yang mempunyai modal berbayar diantara RM500,001 hingga RM2,500,000 dan mengajikan seramai 51 hingga 75 orang pekerja sepenuh masa.
Menyedari definisi lama yang tidak sesuai tentang IKS, Kementerian Perusahaan dan Industri Antarabangsa (MITI) memberi definisi baru IKS di dalam sektor pengilangan dengan mengambil kira syarikat yang mempunyai kapasiti operasi yang lebih besar iaitu firma skala kecil adalah syarikat yang mempunyai kurang daripada RM50 pekerja sepenuh masa dan jualan tahunan tidak melebihi RM10 juta. Manakala firma skala sederhana pula adalah syarikat yang mempunyai antara 51 hingga 150 pekerja dan jualan tahunan antara RM10 juata sehingga RM25 juta.

MASALAH–MASALAH YANG TIMBUL DALAM INDUSTRI KECIL DAN SEDERHANA

Semua perniagaan tidak kira kecil atau besar akan menghadapi masalah dalam masa-masa tertentu. Masalah ini timbul dari dalam dan luar sesebuah perniagaan. Masalah yang berpunca sama ada dari dalam atau dari luar ini mempunyai kesan timbal balik yang kuat dan sekiranya ia tidak dikawal, akan menghancurkan sesebuah perniagaan. Masalah yang dihadapi ini mempunyai dua aspek utama iaitu:
(a) Masalah khusus bagi sesebuah perniagaan dalam suasana ekonomi yang sedang mencatatkan pertumbuhan sebenar. Masalah ini melibatkan perniagaan baru yang cuba bertapak dalam sesebuah industri dan juga perniagaan yang sedang berusaha mengekalkan kedudukannya akibat saingan yang timbul. Masalah ini selalunya berkait dengan soal pengurusan dan pemasaran.
(b) Masalah yang timbul dalam suasana ekonomi yang muram dan atau kurang menggalakkan. Masalah yang dihadapi ini disebabkan oleh faktor luar yang tidak dapat dikawal oleh sesebuah perniagaan. Faktor-faktor luar ini meliputi edaran pusingan ekonomi dunia serta faktor-faktor politik.

Masalah-masalah perniagaan dapat ditinjau melalui perspektif berikut:

1 .Masalah Kekurangan Modal Perniagaan dan sumber kewangan..

Agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam bidang keusahawanan khususnya dalam aspek latihan dan runding cara seperti Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (MEDEC), Pusat Daya Pengeluaran Negara (NPC) dan MARA menimbulkan soal pembiayaan modal perniagaan sebagai punca masalah perniagaan sewaktu atau selepas perniagaan dimulakan. Masalah ini menyebabkan berlaku masalah kekurangan modal pusingan. Kerap kali jumlah keperluan modal yang dikenal pasti dan dirancang oleh usahawan didapati tidak mencukupi semasa perniagaan dimulakan.
Masalah pembiayaan modal perniagaan memang menjadi dilema kepada usahawan-usahawan baru. Kekurangan harta-harta yang dapat digunakan sebagai cagaran serta keupayaan meyakinkan penjamin adalah halangan bagi mendapatkan kemudahan pinjaman dari institusi-institusi kewangan. Di samping itu ketiadaan institusi-institusi alternatif yang berpotensi dalam masyarakat sekeliling turut menyebabkan masalah pembiayaan modal dalam perniagaan menjadi suatu dilema.
Masalah ini mempunyai kaitan yang rapat dengan masalah pengurusan wang tunai. Masalah kekurangan modal pusingan timbul daripada beberapa punca iaitu:

a) Amalan jualan secara kredit yang tidak terkawal
b) Pengurusan stok bahan mentah barang jualan yang kurang rapi menyebabkan wang tunai terikat dalam stok
c) Ketiadaan kemudahan kredit daripada pembekal atau pengeluar tender
d) Perbezaan masa antara permulaan proses pengeluaran dengan waktu tunai diterima bagi jualan yang sudah dilakukan

Jualan secara kredit sudah menjadi suatu amalan dalam dunia perniagaan. Perniagaan-perniagaan yang baru bermula sering menghadapi dilema sama ada mahu memberikan kemudahan kredit atau mendapatkan langganan yang kecil. Perniagaan-perniagaan baru memerlukan stok barang-barang dalam kuantiti yang tertentu sebagai daya tarikan terutama industri peruncitan dan ini memerlukan modal pusingan yang besar. Dalam industri pembuatan, keperluan-keperluan khusus kepada industri yang memerlukan pesanan bahan mentah dibuat dalam masa dan kuantiti yang tertentu bagi menjimatkan kos belian. Keupayaan mendapatkan kemudahan kredit daripada pembekal atau pengeluar tender mungkin dapat mengurangkan beban modal pusingan. Kemudahan kredit ini jarang diperoleh oleh perniagaan yang baru bermula.
Faktor masa antara masa pembayaran perbelanjaan bagi memulakan proses pengeluaran dengan waktu bayaran diterima bagi jualan yang sudah dilakukan menjadi salah satu daripada masalah yang sering dihadapi oleh peniaga-peniaga. Masalah masa ini berkait rapat dengan amalan memberi kredit kepada pelanggan dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pembekal.

2. Masalah Pemasaran

Masalah pemasaran perniagaan baru selalu dikaitkan dengan masalah perniagaan sengit yang timbul dalam sesuatu industri. Secara imbasan, pasaran di Malaysia terbahagi mengikut kaum dan cara hidup. Persaingan ini wujud khususnya dalam industri makanan dan minuman bagi pengeluar-pengeluar kecil bumiputera. Industri makanan dan minuman contohnya, dimonopoli oleh syarikat-syarikat besar dari luar dan bukan bumiputera. Sebagai contohnya industri minuman dikuasai oleh F&N, Yeoh Hiap Seng dan Nestle.
Di samping masalah persaingan, ada pula masalah yang berkaitan dengan saluran pemasaran. Masalah sistem saluran pemasaran timbul kerana pertama, peniaga-peniaga kecil khususnya bumiputera tidak mendapat naungan di bawah sistem ini dan kedua, disebabkan sikap ingin menjalankan kerja-kerja pemasaran sendiri. Masalah rantaian saluran pemasaran adalah suatu masalah yang membendung perkembangan kegiatan ekonomi di kalangan bumiputera.
Satu lagi masalah pemasaran yang dihadapi oleh peniaga-peniaga baru ialah masalah persaingan harga dengan peniaga-peniaga lain. Maklumat yang diperoleh menunjukkan punca masalah ini timbul daripada harga yang ditawarkan oleh pembekal-pembekal. Masalah ini sudah lama diketahui dan masih wujud hingga ke hari ini.
Di samping itu peniaga-peniaga menyuarakan kesulitan yang dihadapi dalam memasarkan keluaran mereka melalui saluran-saluran pemasaran yang sudah sedia wujud. Masalah ini mungkin timbul daripada tanggapan peniaga-peniaga baru yang menganggap keuntungan yang lebih dapat dinikmati dengan menjalankan kerja-kerja pemasaran sendiri tanpa melalui orang tengah. Pengeluar-pengeluar kecil jarang mengemukakan persoalan-persoalan teknikal seperti mutu dan pembungkusan sebagai punca masalah pemasaran yang dihadapi.

3 . Masalah Lokasi

Masalah ini sering dihadapi oleh usahawan-usahawan baru. Usahawan-usahawan yang baru tidak mempunyai pengalaman dalam soal memilih tapak perniagaan. Lazimnya keputusan yang dibuat berpandukan nasihat serta pengalaman daripada peniaga-peniaga yang sudah lama berniaga.Usahawan-usahawan baru biasanya mengambil kos sewa bangunan atau tapak dahulu apabila menilai dan menentukan lokasi perniagaan. Faktor potensi langganan dan nama baik sesuatu tempat itu dinilai selepas mengkaji kos sewa tapak atau tempat perniagaan yang kurang strategik akan memberikan kesan langsung kepada prestasi sesebuah perniagaan khususnya implikasi kos langganan.
Dalam dunia perniagaan, lokasi sangat penting dan lokasi yang baik atau strategik sangat terhad. Perebutan bagi mendapatkan lokasi yang strategik ini bergantung kepada faktor kewangan dan politik niaga. Kebanyakan peniaga-peniaga baru menyuarakan masalah mendapatkan tempat atau lokasi yang strategik sebagai punca utama mengapa prestasi perniagaan mereka kurang menggalakkan. Masalah lokasi atau tempat perniagaan ini adalah salah satu daripada faktor yang mempunyai kaitan dengan prestasi pemasaran. Masalah lokasi adalah masalah utama peniaga-peniaga baru bumiputera di kawasan bandar.

4. Tahap penggunaan teknologi yang masih lemah dan usang.

Penggunaan teknologi adalah bukan bermaksud menggunakan peralatan mesin yang mahal atau canggih tapi cukup sekadar perubahan penggunaan alatan tradisional kepada peralatan mesin juga adalah satu penggunaan teknologi dan ianya akan dapat mengurangkan kos buruh yang akan dihadapi oleh perniagaan. Dalam keadaan guna tenaga masa kini, kos buruh semakin mahal. Pergantungan yang kepada kaedah pengeluaran yang berintensifkan buruh ini tentunya akan menjejaskan daya saing dalam perniagaan. Kadar pusing ganti buruh yang tinggi terutamanya di unit pengeluaran juga berlaku kerana sesebuah perniagaan baru terpaksa bersaing dengan industri gergasi di pasaran tempatan yang berupaya menawarkan upah, faedah sampingan dan persekitaran yang lebih baik. Oleh yang demikian, sesebuah perniagaan baru hendaklah melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebelum memulakan perniagaan yang hendak dijalankan.
Selain itu, kekurangan pengetahuan dalam pengunaan IT (Teknologi Maklumat) juga menjadi masalah yang dihadapi oleh usahawan-usahawan baru. Penggunaan IT akan menjadikan sesebuah perniagaan itu lebih bersifat global, penggunaan IT juga adalah perkara yang amat penting. Dengan adanya IT, sesuatu perniagaan itu akan menjadi lebih mudah kerana ianya dapat menjimatkan tenaga, masa dan wang. Menerusi peningkatan keupayaan teknologi, perniagaan akan menjadi lebih produktif dan meningkatkan daya saing. Dengan adanya penggunaan IT oleh usahawan ianya akan mempercepatkan perkembangan perniagaan dan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara ke arah pengetahuan yang berasasakan ekonomi (K-ekonomi).

5. Kekurangan kepakaran dan tenaga buruh mahir.

Untuk menjimatkan kos, usahawan-usahawan baru hendaklah mempunyai kepakaran dalam bidang perniagaan yang hendak diceburi. Ini kerana ianya adalah untuk mengelakkan mereka mengalami kerugian akibat daripada ketidakcekapan mereka menguruskan perniagaan yang akan dijalankan. Selain itu, ianya adalah untuk mengelakan usahawan-usahawan tersebut mengambil pakar dari luar dan ianya melibatkan kos sangat tinggi. Ini akan menyebabkan kos operasi perniagaan meningkat. Kekurangan tenaga kerja mahir untuk membantu menguruskan perniagaan juga akan menyebabkan sesuatu pernigaan tidak berjalan dengan cekap. Walaupun terpaksa membayar pada harga yang tinggi untuk mendapatkan tenaga kerja mahir tetapi ianya berbaloi kerana perniagaan dapat berjalan dengan cekap serta dapat mengurangkan risiko daripada berlakunya kesilapan.

PANDANGAN INSTITUSI-INSTITUSI KEWANGAN

Institusi-institusi kewangan khususnya bank-bank perdagangan, syarikat-syarikat sewa pajak dan syarikat-syarikat kewangan mempunyai pandangan yang berbeza mengenai masalah-masalah sektor perniagaan yang dikenal pasti oleh institusi-institusi kewangan ini ialah:

1. Faktor kurang pengalaman

Institusi-institusi kewangan meletakkan pengalaman sebagai salah satu angkubah yang akan menentukan kejayaan sesebuah projek perniagaan. Pengalaman di sini mencakupi bidang-bidang teknikal dan pengurusan. Bank-bank perdagangan jarang memberikan pinjaman kepada usahawan-usahawan baru tanpa mengkaji keupayaan dan kebolehan setiap permohonan. Bank perdagangan lebih banyak menumpukan perhatian kepada pengalaman lalu sebelum meluluskan sesuatu permohonan pinjaman.

2. Prestasi kualiti kerja

Prestasi kualiti kerja sangat penting kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan. Kualiti barang keluaran atau servis bergantung kepada kecekapan dan keupayaan pekerja dan pihak pengurusan sesebuah syarikat. Kebanyakan perniagaan baru hanya mempunyai satu atau dua orang pekerja mahir di bahagian operasi. Prestasi kualiti kerja inilah yang akan menimbulkan masalah pemasaran khususnya untuk meninjau peluang-peluang yang lalu. Agensi-agensi kerajaan terutama yang terlibat dalam kerja-kerja piawaian dan penyelidikan mempunyai pandangan yang sama dengan institusi-institusi kewangan mengenai kualiti kerja di kalangan sektor pengilang-pengilang kecil. Prestasi kualiti kerja ini adalah akibat daripada keupayaan yang terhad di kalangan pengilang-pengilang kecil bagi menjalankan kerja-kerja penyelidikan yang memerlukan belanja yang besar.

3. Pengurusan kurang rapi

Institusi-institusi kewangan yang berperanan sebagai pemberi pinjaman menitikberatkan pengurusan kewangan terutama dalam pengurusan modal kerja. Perniagaan baru dengan modal permulaan yang kecil menghadapi masalah besar dalam menguruskan modal pusingan. Sebarang kelewatan dalam penerimaan wang tunai akan menjejaskan kelicinan perjalanan perniagaan. Di samping itu, sebarang penangguhan dalam pembayaran hutang-hutang yang perlu dibayar akan menjejaskan perhubungan dengan pihak pembekal. Perniagaan-perniagaan yang pada peringkat awal terutama pada tiga tahun pertama sering menghadapi masalah kekurangan modal pusingan akibat penggunaan tunai yang kurang rapi. Misalnya, A yang membuka sebuah stesen minyak petrol selama dua tahun sudah menggunakan sebahagian daripada keuntungan untuk melabur dalam sebuah projek pengangkutan secara usahawan. Kelewatan pulangan daripada projek pelaburan tersebut dan kemunculan perbelanjaan-perbelanjaan luar jangka dalam perniagaan yang sedang dijalankan menyebabkan A berada dalam keadaan tersepit.
Di samping itu, institusi-institusi kewangan juga melihat kepada pengurusan stok kerana ia memberi kesan langsung kepada kedudukan tunai dalam sesebuah perniagaan. Soal pengurusan stok ini lazimnya dialami oleh perniagaan baru yang belum berpengalaman.

STRATEGI DAN CARA-CARA MENGATASI MASALAH YANG TIMBUL DALAM IKS

Strategi-strategi perlulah dilakukan oleh usahawan bagi memastikan perniagaaan tercapai dengan jayanya. Sememangnya, satu proses pemulihan drastik perlu dilakukan bagi usahawan untuk menubuhkan sesuatu perniagaan. Menyedari pelbagai cabaran yang bakal dihadapi dalam menubuhkan perniagaan baru, usahawan perlu bersedia memainkan peranan dan menyusun strategi yang lebih signifikan. Menurut Ab Aziz Yusof ( 2003), antara strategi yang sepatutnya dimainkan oleh setiap usahawan dalam menubuhkan perniagaan baru ialah;

1. Bantuan dalam penyediaan modal

Kerajaan akan memberikan peruntukan sebanyak RM3.8 billion bagi membantu usahawan pada tahun ini bagi menjalankan 245 program yang dirancangkan. Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Ng Yen Yen berkata, pelaksanaan program itu dijangka dapat membantu usahawan meningkatkan tahap produk yang dihasilkan, memperbaiki kualiti sumber manusia dan menyemai semangat keusahawanan di kalangan remaja lepas sekolah. Peruntukan itu dilihat dapat membantu perkembangan usahawan dan membantu meningkatkan lagi perniagaan mereka melalui aktiviti yang dirancangkan.
Kerajaan juga akan membantu para usahawan melalui sektor perbankan dengan menghasilkan pakej pelaburan yang bersesuaian dengan syarat aliran tunai perniagaan usahawan. Ketiadaan kadar faedah yang dikenakan Bank Negara Malaysia (BNM) pada pinjaman usahawan adalah salah satu cara membantu para usahawan membuat pinjaman daripada sektor perbankan dengan mudah. Penetapan ini juga membantu sektor perbankan mengenakan kadar penetapan harga pinjaman berdasarkan risiko syarikat usahawan terbabit. BNM juga telah membenarkan beberapa syarikat perbankan seperti Citibank, Standard Chartered dan HSBC untuk membuka empat cawangan bagi setiap bank tersebut pada tahun ini. Jelasnya, ia akan menghasilkan persaingan yang lebih hebat bagi sektor perbankan dalam memberikan perkhidmatan pinjaman sekaligus memberi faedah kepada usahawan untuk membuat pinjaman. (Mingguan Malaysia/Ahad/ 8 Januari 2006)

2. Dasar Penswastaan

Selain itu juga, kerajaan telah menjalankan dasar penswastaan pada tahun 1983.Pada 19 September 1995, apabila Perdana Menteri Malaysia ketika itu, iaitu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan akan memperluaskan lagi dasar penswastaan (kali ini lebih daripada 200 lagi agensi akan diswastakan) maka, reaksi umum kelihatan tidak lagi senegatif seperti mana ia mula-mula diumumkan pada 1983. Penswastaan atau penyerahan milik negara kepada sektor swasta (denationlization) ini merupakan suatu fenomena yang baru.Dasar ini bagaimanapun, telah mencetuskan pelbagai harapan yang berbaza dan kepentingan yang berlainan. Bagi golongan usahawan mereka mengharapkan peluang untuk mendapat tender atau perniagaan semakin terbuka luas. Bagi mana-mana syarikat yang berjaya memperoleh sesuatu projek penswastaan, ia mesti memahami bahawa matlamatnya bukan sahaja untuk memaksimumkan keuntungan tetapi juga berperanan membentuk usahawan-usahawan lain melaui proses penaburan keuntungan. Ini boleh dilaksanakan melalui pembentukkan sistem jaringan atau sistem vendor. Kalau ini boleh dilaksanakan, maka hasrat kerajaan untuk mencapai wawasan 2020 serta kesejahteraan menyeluruh akan terlaksana.

3. SME Bank

SME bank tertubuh hasil dari dasar penswastaan. Penubuhan SME bank pada Oktober 2005, pasti memberi harapan baru kepada usahawan di Malaysia terutama golongan usahawan kecil dan sederhana (IKS). Dengan modal RM1 billion yang diperuntukkan kepada bank berkenaan untuk memulakan operasinya, ramai usahawan menaruh harapan untuk memperoleh sokongan kewangan dari bank tersebut. Secara umumnya, Bank SME menawarkan tiga bentuk pembiayaan kewangan kepada usahawan yang layak. Pertama, pembiayaan untuk perniagaan mikro, kedua pembiayaan untuk perniagaan kecil dan ketiga pembiyaan untuk perniagaan sederhana. Dalam kategori pembiayaan untuk perniagaan kecil, pinjaman diberi tanpa mengambil kira fokus perniagaan. (Sri Diah Shaharuddin, 2006)

4. Strategi sejagat

Usahawan menjelang abad ke-21 perlu memahami perubahan pasaran dan ekonomi dunia dengan berfikiran secara sejagat. Mereka perlu mempunyai kapasiti untuk mengenalpasti peluang-peluang perniagaan baru secara unik dan bertindak cepat untuk mengeksploitasikannya. Mereka perlu memimpin persekitaran perniagaan secara strategik dengan memastikan mendahului strategi yang diambil pesaing.

5. Kemahiran dalam penggunaan Teknologi Maklumat dan teknologi.

Usahawan hendaklah sentiasa peka dengan perkembangan teknologi yang pesat berlaku sama ada dalam bidang pengeluaran, pembangunan produk, pembungkusan, pemasaran dan penumpuan kepada kualiti. Mereka tidak sepatutnya memperkecilkan peranan teknologi maklumat untuk memperoleh kelebihan bersaing dalam perniagaan. Untuk menjadikan usahawan itu yang berjaya dari segi teknologi, usahawan itu hendaklah sentiasa mencari kemahiran dan teknik baru. Usahawan hendaklah sentiasa cuba untuk memperbaiki kemahiran dan teknologinya untuk memastikannya sentiasa berada di hadapan persaing-persaingnya. Kemahiran dan teknologi baru dapat menjimatkan kos dan meningkatkan daya pengeluaran perusahannya. Oleh itu, amat penting untuk seseorang usahawan itu menggunakan teknologi di dalam perusahaan atau perniagaan mereka untuk terus bersaing di dalam pasaran. Untuk terus mencapai kejayaan di dalam bidang keusahawan, seseorang usahawan itu hendaklah sentiasa beredar mengikut peredaran zaman dan bukannya masih bergantung kepada kaedah pemikiran dan teknologi yang telah ketinggalan. Seseorang usahawan itu hendaklah menjadi seorang usahawan yang yang berjaya untuk terus kekal dalam dunia perniagaan.

6. Mengutamakan jaringan

Usahawan perlu tahu bagaimana hendak mengurangkan lapisan prosedur dan segala bentuk birokrasi dalam menjalankan aktiviti keusahawanan. Usahawan juga perlu mempunyai kemahiran untuk membina jaringan dengan tokoh-tokoh usahawan dengan harapan untuk mewujudkankan kerjasama dan memastikan mereka sentiasa berada dalam situasi menang-menang. Usahawan perlu ingat dalam dunia keusahawanan bukannya apa yang diketahui oleh usahawan yang akan menentukan kejayaan mereka tetapi siapa yang mereka akan kenali mempunyai pengaruh yang lebih signifikan terhadapa kejayaan perniagaan yang akan dijalankan.

7. Berperanan sebagai pemimpin dan pendorong

Usahawan pada masa depan juga perlu mengetahui kedinamikan kumpulan dan sensitif terhadaap keperluan mereka. Mereka hendaklah mempunyai kebolehan yang membimbing, mendorong, menasihati dan tahu bila, apa dan bagaimana memberi arahan secara paling berkesan kepada pasukan kerja dan individu agar mereka mampu memberi sumbangan terbaik.

8. Kepakaran berkomunikasi

Usahawan berperanan sebagai penghubung yang berkesan. Kepakaran ini penting kerana mereka akan berhadapan dengan pekerja yang mempunyai pelbagai latar belakang. Pada masa yang sama, mereka juga perlu berhadapan dengan pembekal, pelanggan, komuniti dan pemimpin kerjaan yang mana setiap di antara mereka mempunyai agenda dan pengharapan yang tersendiri terhadap usahawan.

PERANAN DAN KEBAIKAN IKS KEPADA NEGARA

Industri kecil dan sederhana (IKS) memainkan peranan penting dalam pembangunan dan perkembangan ekonomi negara. Pertumbuhan sektor pembuatan yang amat memberansangkan sejak 1980-an telah meletakkan IKS sebagai industri penggerak utama dalam mempelbagaikan aktiviti di sektor ini. Peranan dan sumbangan ini dijangka menjadi semakin penting dalam mencapai wawasan 2020 dan menjadikan negara ini sebagai sebuah negara perindustrian. Malah IKS boleh dijadikan sebagai asas, tulang belakang dan pendokong dalam memenuhi hasrat dan cita-cita wawasan pembangunan ekonomi negara selepas 2020. Dewasa ini sumbangan IKS semakin terserlah dan ini dapat dilihat dalam beberapa bidang seperti jumlah pertubuhan, jumlah pekerjaan, nilai keluaran dan harta tetap. Pada tahun 1994 misalnya, IKS terdiri 84.1% dari jumlah keseluruhan pertubuhan pengilang dalam sektor perkilangan di Malaysia. IKS juga menyediakan sebanyak 44.2% peluang pekerjaan dari jumlah tenaga kerja dalam sektor perkilangan, 48.9% dan 31.7% masing- masing dalam jumlah nilai keluaran dan jumlah nilai harta tetap. (Moha Asri Abdullah 1995)
Lebih penting daripada peratusan perangkaan di atas ialah peranan sebenar yang dimainkan oleh IKS dalam pertumbuhan sektor perkilangan dan keseluruhan pembangunan ekonomi negara. Secara umumnya, IKS membuka banyak peluang pekerjaan, sumbangan dalam meningkatkan jumlah simpanan negara dan menjimatkan tukaran wang asing, mewujudkan distribusi pendapatan yang lebih baik, membantu dalam melahir dan meningkatkan kemahiran di kalangan tenaga kerja terlibat baik di peringkat pekerja mahupun pada peringkat pengurusan dan membantu dalam meningkatkan arus pemindahan teknologi asing. Menurut Ahli Majlis Kebangsaan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Malaysia, Datuk David Chua (2006), IKS memainkan peranan yang penting dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar, sumbangan kepada pekerjaan dan sebagainya.

1 . Membuka Peluang Pekerjaan

Satu perkara yang sering diperkatakan dalam IKS ialah ia berupaya membuka lebih banyak peluang-peluang pekerjaan kepada orang ramai. Hal ini demikian memandangkan IKS mampu menggunakan tenaga buruh secara intensif dalam teknik pengeluaran mereka berbanding dengan firma-firma besar. Ini secara terus dapat membuka peluang pekerjaan yang banyak dalam beberapa fungsi pengeluaran dalam operasi IKS. Dianggarkan bahawa jumlah kapital untuk setiap orang pekerja bagi IKS mempunyai lebih kurang 14 hingga 50% lebih rendah berbanding dengan industri bersaiz besar. Keseluruhannya, dalam semua bancian dan penyelidikan yang telah dijalankan di dapati bahawa semakin besar saiz sesebuah industri, semakin tinggi penggunaan kapital atau modal. Apabila IKS menggunakan jumlah kapital yang jauh lebih rendah berbanding dengan firma besar, jumlah dan bilangan pekerja secara langsung lebih ramai bagi setiap ringgit yang dilaburkan. Kelebihan dalam kaedah pengeluaran ini ialah mereka dapat mengurangkan atau meminimakan kos pengeluaran dan seterusnya bersaing dengan firma-firma lain di pasaran terbuka.

2. Tabungan dalam Ekonomi dan Pengagihan Pendapatan

Kegiatan IKS baik secara langsung mahupun tidak langsung dapat membantu meningkatkan jumlah tabungan dalam ekonomi negara. Dalam kebanyakan operasi industri kecil, sejumlah besar sumber kewangan dan modal datangnya daripada pemilik sendiri. Terdapat juga modal yang disumbangkan oleh ahli keluarga, relatif atau kawan, di samping rakan perniagaan mereka. Kajian menunjukkan bahawa lebih 70% daripada sumber kewangan dalam IKS berpunca daripada pemilik atau pengusaha masing-masing.
Hal ini demikian jelas membayangkan bahawa IKS menjadi sumber utama kepada jumlah tabungan dan simpanan negara. Sekiranya jumlah modal dan sumber kewangan tersebut tidak dilaburkan dan digunakan dalam IKS, berkemungkinan besar ia akan digunakan untuk perbelanjaan keperluan yang lain. Justeru itu, penubuhan dan kegiatan industri kecil dari segi ekonomi menggalakkan kadar simpanan dan tabung ekonomi. Ini boleh meningkatkan keseluruhan kadar simpanan penduduk dalam negara dan mengurangkan masalah kenaikan kadar inflasi. Selain itu, sumber-sumber bahan mentah yang digunakan oleh IKS seperti mesin, peralatan, pejabat dan bangunan juga membantu ke arah meningkatkan tabung simpanan negara. IKS, dalam konteks ini juga, boleh mengurangkan kadar pembaziran yang berlebihan.
Kepentingan dan peranan IKS juga dapat dilihat dari segi pengagihan pendapatan di kalangan penduduk. Firma besar dan syarikat antarabangsa pada umumnya lebih cenderung membayar dan menawarkan gaji, faedah serta kebajikan sosial yang tinggi kepada hanya sekumpulan kecil pekerja terutamanya kepada pengurus atasan, pekerja mahir dan profesional sahaja.
Dalam hubungan ini, terdapat sebilangan kecil sahaja isirumah yang mempunyai pendapatan yang jauh lebih tinggi. Malah kumpulan minoriti isirumah ini memiliki sejumlah besar dari keseluruhan jumlah pendapatan negara berbanding dengan majoriti penduduk yang mendapat pembahagian pendapatan yang kecil. Hal ini menunjukkan bahawa melalui operasi firma besar atau syarikat antarabangsa, tidak ada satu keserataan dan pembahagian dalam pengagihan kekayaan dan distribusi pendapatan penduduk dengan baik dan lebih saksama.
Walaupun dipercayai bahawa distribusi sebenar dan lebih adil mengenai pengagihan pendapatan negara sukar diwujudkan, penglibatan pengusaha, pemilik dan pekerja dalam IKS boleh membantu mengurangkan ketidaksamaan jurang pendapatan penduduk. Kesan dari penglibatan mereka dalam IKS akan dapat mewujud dan menggalakkan pendapatan yang lebih ketara berbanding dengan kewujudan struktur pendapatan dan upah dalam firma besar dan syarikat antarabangsa yang lain.

3. Latihan kepada Pekerja

Peranan IKS sebagai tempat latihan dalam pelbagai kemahiran untuk pekerja, pengusaha dan bakal pengusaha tidak dapat dipertikaikan lagi. Dengan jumlah modal tersebut, pengusaha IKS dapat membina latihan dan pengetahuan yang berguna mengenai selok-belok operasi perniagaan dan bergantung hidup kepada perniagaan tersebut.
Bagi sejumlah modal yang kecil juga sukar bagi seseorang pengusaha mendapat faedah yang sama dalam firma besar. Lebih penting daripada itu, dengan jumlah modal yang kecil, IKS dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada ahli keluarga, jiran dan orang ramai. Peluang pekerjaan dalam IKS ini sudah tentu dapat memberi dan menyediakan latihan dan kemahiran yang berguna kepada diri mereka sendiri di samping pekerja terlibat.
Selain itu, sebahagian besar pengusaha dan pekerja dalam IKS mempunyai taraf pendidikan yang rendah. Tahap pendidikan yang rendah ini jelas jika dibandingkan dengan para pengurus dan pekerja di dalam firma besar dan syarikat antarabangsa yang lain. Majoriti hanya memiliki kelulusan peringkat Sijil Rendah Pelajaran dan Sijil Pelajaran Malaysia. Dengan adanya taraf kelulusan yang ada pada mereka, sukar sekali bagi mereka mendapatkan gaji yang tinggi dan lumayan sebagai pengurus, pentadbir, akauntan, jurutera dan lain-lain di sektor awam mahupun swasta. Dengan taraf kelulusan formal yang rendah juga amat sukar bagi mereka mendapatkan pekerjaan yang bergaji lumayan dalam firma besar dan syarikat antarabangsa. Bagaimanapun, pengusaha dan pekerja seperti ini dapat berkecimpung dalam IKS.
Justeru itu, melalui penyertaan dalam IKS, mereka bukan sahaja mendapat latihan, tetapi juga dapat meningkatkan pengalaman latihan dan kemahiran tersebut. Latihan dan kemahiran yang dapat diperolehi dalam IKS juga tidak terhad kepada satu-satu bidang operasi. Kaedah pengeluaran yang lebih menekankan intensif tenaga buruh dalam IKS dan ketiadaan pengkhususan bidang kerja yang tetap dan jelas menyebabkan ramai pekerja dapat menimba latihan dan kemahiran tersebut dalam pelbagai fungsi dan bidang operasi.

4. Memperkukuhkan Asas Industri Negara dan Hubungjalin dengan Firma Besar

IKS memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dengan mewujudkan, mengembangkan, dan mengukuhkan lagi struktur asas pembangunan industri negara. Pembangunan ekonomi yang pesat sejak 1970-an hingga ke hari ini, telah banyak menghubung dan menggabungkan ekonomi negara ini dengan keadaan, perubahan dan aktiviti ekonomi antarabangsa. Hasilnya, struktur pembangunan industri di Malaysia lebih berbentuk pergantungan dan penyesuaian pengeluaran barangan untuk pasaran eksport. Keadaan pasaran tempatan yang kecil tidak menjadi satu pendorong yang kuat. Struktur asas pembangunan industri seperti ini ialah pergantungan kepada firma asing dan syarikat antarabangsa. Struktur pembangunan industri sedemikian juga berkembang tanpa mempertingkatkan kemampuan firma tempatan. Sebahagian besar kaedah pengeluaran yang diamalkan adalah secara besar-besaran berunsurkan intensif barangan import dan intensif kapital yang dimonopoli oleh syarikat gergasi antarabangsa. Malah keputusan pelaburan semula keuntungan banyak bergantung kepada pertimbangan ekonomi semasa yang berorientasikan keuntungan dan memaksimakan pulangan yang tinggi.
Namun dalam kebanyakan kes, keuntungan selalu dibawa keluar sama ada ke negara asal syarikat tersebut atau ke negara lain yang mempunyai kos operasi dan tenaga buruh yang lebih rendah. Peranan dan sumbangan syarikat gergasi ini dalam menyumbang, memperkembang dan memperkukuh asas pembangunan industri di negara ini tidak dapat dikenalpasti. Walau bagaimanapun, sehingga hari ini terdapat kekhuatiran pihak berkuasa dan usahawan terlibat bahawa peranan amat kecil terutama sekali dalam perpindahan dan perkembangan teknologi. Dalam keadaan ini, IKS boleh digunakan sebagai alternatif penting bukan sahaja dalam usaha memperkukuh struktur asas industri negara yang lebih baik dan terjamin, tetapi juga dapat mengurangkan peranan syarikat gergasi antarabangsa.
IKS juga dapat memberi sumbangan penting kepada pembangunan ekonomi negara melalui hubungjalin mereka dengan firma besar dan syarikat antarabangsa. Hubungjalin yang tersusun dan ikhlas dapat menjamin penerusan, perkembangan dan kejayaan IKS baik dari segi meringankan beban kapital, kos pengurusan, pengangkutan mahupun pemasaran. Tambahan lagi, hubungjalin yang sesuai boleh memberi faedah penting dari segi perpindahan teknologi, peningkatan kualiti barangan, produktiviti, latihan dan kemahiran kepada pengusaha dan pekerja di samping mempercepatkan pembinaan struktur asas perindustrian negara dengan lebih baik. IKS juga dapat mewujudkan industri pelengkap kepada keperluan dan pembangunan industri negara. Hal ini demikian adalah penting kerana negara kita memerlukan kepelbagaian dalam sektor industri.
Penglibatan IKS yang aktif dan dalam pelbagai sektor juga membolehkan asas industri yang mantap dan kukuh dan tidak akan tergugat dan terjejas sekiranya terdapat penarikan operasi dan pelaburan dari firma dan syarikat antarabangsa. Selain itu, IKS dengan penyesuaian mereka kepada intensif tenaga buruh dapat mengeluarkan barangan yang tidak dapat dihasilkan oleh syarikat dan firma besar. Pembuatan barangan makanan, pakaian dan alatan perabut daripada industri kecil sekurang-kurangnya dapat memenuhi kepuasan citarasa pengguna dalam negeri. Tidak dapat dinafikan juga bahawa IKS juga dapat mengeluarkan barangan yang dapat memenuhi keperluan barangan sebahagian besar golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana dalam negeri. Perkara ini jelas dapat dilihat dalam industri tertentu seperti pembuatan makanan, pembuatan logam, peralatan plastik dan getah, pakaian, peralatan perabut dan seumpamanya.

PERKEMBANGAN IKS DI MALAYSIA DALAM MENGHADAPI GLOBALISASI DAN POTENSI PADA MASA AKAN DATANG

Kadar pembangunan ekonomi negara semakin pesat, pertumbuhan sektor perkilangan yang meyakinkan dan wawasan negara ke arah negara perindustrian 2020, ternyata memerlukan sokongan dan sumbangan IKS yang lebih besar dan bermakna. Penubuhan Bank SME yang diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bumiputra-Commerce Bank Bhd. oleh kerajaan pada Oktober tahun 2005 pasti memberi harapan baru kepada golongan usahawan kecil dan sederhana (IKS) tempatan. Dengan adanya bank ini sudah pasti memberi manfaat yang besar kepada usahawan-usahawan IKS di negara ini untuk mendapatkan pembiayaan bagi menubuhkan dan membesarkan lagi perniagaan mereka. Ini pastinya akan dapat memberi kelebihan kepada para pengusaha dalam mengurangkan halangan terhadap keperluan pembiayaan yang memerlukan cagaran dan rekod perniagaan. Menurut Md Ramli, dengan adanya Bank SME, maka kini peluang untuk mendapat modal daripada bank akan bertambah, tentunya mereka akan dapat mengembangkan perniagaan dengan mudah dan seterusnya dapat bersaing dengan syarikat-syarikat yang lebih besar, dengan ini perusahaan IKS di negara ini mempunyai potensi yang lebih baik di masa hadapan untuk menghadapi cabaran globalisasi.
Kerajaan mahu lebih ramai pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Malaysia memasarkan produk mereka ke luar negara menerusi rantaian pasaraya besar sebagai usaha meningkatkan pertumbuhan sektor tersebut, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Mohamed Shafie Apdal,(2006).Beliau berkata pendekatan memasarkan produk pengusaha IKS melalui rantaian pasaraya besar boleh mempercepatkan perkembangan IKS tempatan disamping menjadi industri sokongan kepada pasaraya besar.Pendekatan ini juga dapat mengatasi masalah pemasaran produk pengusaha IKS di dalam dan luar negara.Mohamed Shafie berkata pendekatan pemasaran produk IKS menerusi rantaian pasaraya besar ternyata berjaya berdasarkan kejayaaan Program Promosi Produk Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) di Hong Kong pada akhir bulan lepas.Misi PKS anjuran kementerian itu dengan kerjasama rantaian pasaraya besar di Hong Kong telah berjaya mendapat perolehan pesanan jualan sebanyak RM5.6 juta.
Mohamed Shafie berkata kementerian akan menganjurkan satu lagi misi PKS ke Singapura dan berharap lebih ramai pengusaha IKS menyertai program berkenaan.
Katanya, kerjasama dengan rantaian pasaraya besar di seluruh dunia akan diperluaskan kerana ia boleh menjadi pemangkin perkembangan dan pertumbuhan produk IKS negara ke pasaran global. Dalam perkembangan lain, Mohamed Shafie berkata kementerian akan sentiasa memantau pergerakan harga barangan di samping mengambil langkah proaktif memastikan harga barangan berada di paras yang berpatutan dan bekalan di pasaran mencukupi. Katanya bagi tempoh suku pertama tahun lepas, terdapat sebanyak 603 kes melibatkan kompaun sebanyak RM40,343 dan nilai rampasan sebanyak RM67,445.
Sambil menyatakan terdapat kenaikan harga pada barangan tertentu seperti makanan dan pengangkutan berikutan kenaikan harga petrol dan diesel, beliau berkata kenaikan harga itu antara lain berpunca daripada sikap peniaga yang mengambil kesempatan mengaut untung berlebihan.
Dalam menghadapi globalisasi yang semakin mencabar maka para pengusaha IKS perlu berhadapan dengan faktor teknologi yang semakin meningkat maju yang perlu disesuaikan dengan keadaan semasa. Salah satu teknologi yang paling penting pada waktu ini ialah Teknologi Maklumat (TM). Penggunaan teknologi ini dalam industri telah lama dipraktikkan oleh negara-negara maju seperti Amerika ,Syarikat, Jepun, dan negara-negara Eropah. Contoh yang paling nyata ialah penubuhan “Silicon Valley” di Amerika Syarikat telah banyak membawa perubahan dalam sektor industri mereka. Malaysia juga perlu mengikut jejak langkah negara ini jika mereka ingin bersaing dalam pasaran globalisasi sekarang.
Di samping itu penubuhannya juga banyak memberi kesan kepada pengurangan kadar pengangguran, penciptaan-penciptaan produk baru, urus niaga secara talian terus “online”, penjimatan kos perniagaan dan sebagainya. Atas dasar inilah kerajaan telah berusaha untuk memajukan lagi perkembangan penggunaan TM di kalangan penduduk terutama sektor industri kecil dan sederhana (IKS). Dengan itu kerajaan telah mengambil langkah bijak dengan menubuhkan “Koridor Raya Multimedia”. Penubuhannya telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 1 Ogos 1996 di Persidangan Multimedia Asia yang akan menjadi pemangkin untuk usahawan IKS menjadi lebih maju dalam penggunaan teknologi maklumat dalam menguruskan perniagaan. Kawasan MSC ini bermula dari Bandar Raya Kuala Lumpur hingga ke Sepang.
Selain itu kerajaan telah melancar beberapa program ke arah pendekatan penggunaan TM dalam ekonomi seperti e-dagang, k-ekonomi dan lain-lain. Antara matlamat yang ingin dicapai pada masa ini ialah kerajaan elektronik, teleperubatan, kelompok pembangunan dan penyelidikan, pusat perubatan sedunia, pusat pemasaran tanpa batasan, pusat kewangan bercirikan multimedia dan kad bestari yang serba guna. Ia bertujuan untuk merancakkan lagi pertumbuhan semua industri tidak kira firma besar, sederhana atau pun kecil. Kebanyakan firma-firma besar dan multinasional telah lama menggunakan kemudahan TM ini dalam membangunkan firma masing-masing, malah mereka telah pun mempunyai satu unit atau personel yang khusus mengenai pengurusan maklumat firma (The Star, Disember 6, 2000). Sejauh manakah hal ini sedemikian rupa, memandangkan ini hanya anggapan. Maka wajarlah adanya satu penyelidikan terperinci mengenai tahap penggunaan TM dalam IKS di Malaysia.

GALAKAN DAN SOKONGAN DARI PIHAK-PIHAK TERLIBAT

Di Malaysia, kesedaran pelbagai pihak tentang keperluan dalam melahirkan usahawan yang berkemampuan dan bertaraf antarabangsa serta pekerja mahir adalah tinggi. Dalam pembangunan pesat ekonomi sekarang, keperluan dalam meningkatkan penyertaan bumiputera dalam kegiatan perindustrian dan perdagangan di samping memenuhi hasrat dan objektif pembangunan negara serta merealisasikan wawasan 2020 juga telah menjadi satu kesedaran umum. Penubuhan satu kementerian baru dalam kabinet kerajaan Malaysia selepas pilihanraya 1995, iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan telah membayangkan kesedaran dan keperluan ini. Selaras dengan itu juga, pelbagai pihak telah mula menyedari bahawa salah satu langkah penting dalam mencapai hasrat ini ialah melalui bantuan dan sokongan kepada pembangunan IKS.
Bahagian keempat teks ucapan Bajet Tahun 2004 Oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan (2004) di Dewan Rakyat pada 12 September 2003. Beliau telah mencadangkan untuk mempermudahkan aksesibiliti pembiayaan IKS. Beliau telah menyatakan bahawa Industri Kecil dan Sederhana (IKS) perlu digiatkan bagi menjana aktiviti pelaburan dalam negeri. Bagi membolehkan IKS mengukuhkan peranannya, adalah penting bagi institusi kewangan menyediakan kemudahan kewangan dan kredit yang lebih accessible kepada golongan tersebut. Selain daripada kemudahan pembiayaan yang telah disediakan oleh kerajaan di bawah Pakej Strategi Baru, institusi perbankan perlu proaktif dalam pemberian pinjaman, terutamanya kepada golongan pengusaha kecil dan sederhana. Memandangkan sambutan yang menggalakkan terhadap Skim Kredit Mikro dari peniaga kecil, kerajaan akan menambahkan lagi dana sebanyak RM1 bilion di bawah BPM dan BSN. Kerajaan juga prihatin terhadap peniaga kecil dan sederhana yang mengalami kesukaran membayar hutang dengan institusi kewangan. Di bawah Pakej Strategi Baru, Bank Negara Malaysia telah menyediakan Skim Penyusunan dan Penjadualan Semula Pinjaman bagi semua jenis pinjaman dan kemudahan kredit oleh peminjam di sektor pelancongan. Setakat ini, nilai pinjaman sebanyak RM3 bilion telah mendapat manfaat dari Skim ini. Di samping Skim ini, kerajaan juga akan mengambil langkah untuk membantu pengusaha IKS menangani masalah hutang tak berbayar mereka dengan institusi kewangan.
Pelbagai pihak yang bersungguh-sungguh dalam membangunkan IKS di negara ini dapat dibuktikan melalui pelbagai anugerah yang disediakan kepada para usahawan IKS. Ini sesungguhnya dapat memberi motivasi kepada para usahawan IKS untuk mengorak langkah kehadapan sebagai sebuah syarikat IKS yang berjaya. Menurut Datuk David Chua (2006), Kejayaan syarikat-syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) meraih anugerah dalam sesuatu penganjuran disarankan supaya dijadikan landasan untuk mengorak langkah ke Bursa Saham Kuala Lumpur. Chua berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas majlis mengumumkan 100 IKS terbaik sempena Anugerah Golden Bull 2003 di sini, baru-baru ini. Anugerah yang dianjur oleh akhbar Nanyang Siang Pau dengan kerjasama Nanyang Online dan Pusat IKS Asia Pasifik itu bertujuan mengetengahkan 100 IKS terbaik dalam pelbagai industri tempatan. Chua yang menjadi ketua panel hakim bagi anugerah berkenaan menjelaskan, syarikat peserta terbabit boleh digalakkan atau diberikan bantuan sama ada untuk disenarai atau muncul sebagai sebuah industri yang lebih besar.
Sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dijangka terus menjadi antara tonggak utama pembangunan negara pada tahun ini. Peranannya sebagai pendokong pertumbuhan ekonomi perlu diberi perhatian, termasuk membantu syarikat tempatan, khususnya Bumiputera mempelbagaikan produk dan pasaran. Justeru, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), pertumbuhan IKS sama ada di luar bandar atau bandar akan terus dipertingkatkan, terutama membabitkan usahawan Bumiputera dalam bidang makanan serta kosmetik. Presiden Persatuan Rangkaian Usahawan Wanita (Wena), Datuk Faridah Omar Shah, berkata persatuan perniagaan, terutama yang memperjuangkan ‘survival’ usahawan Bumiputera berdepan cabaran besar pada tahun ini. Ketika ini, terdapat lebih 800 pengusaha Bumiputera terbabit dalam sektor berkenaan dan mereka perlu dibimbing bagi membolehkan produk dipasarkan ke luar negara.
Langkah yang boleh dipertingkatkan adalah dengan menyediakan ruang perniagaan mencukupi serta membangunkan pasar tani supaya produk mereka dapat dijual. Jika mengikut statistik lain pula, program Peruncitan Mara membabitkan kira-kira 30,000 usahawan dari dalam dan luar negara dapat mewujudkan rangkaian perniagaan yang lebih luas kepada Bumiputera. Pada masa sama, sokongan sektor perbankan juga harus diteruskan supaya kesinambungan daya saing dan jangka hayat IKS tempatan di negara ini dapat dipertahankan. Saranan kerajaan supaya bank turut membantu IKS tempatan tidak dipandang sepi. Malah, sepanjang 2006 banyak bank tampil untuk memberi sokongan kepada sektor IKS supaya mereka berdaya maju.
Antaranya Bank Perusahaan Kecil & Sederhana Malaysia Bhd (SME Bank) yang turut menyediakan Pusat Nasihat SME Bank (SAC), bertujuan membolehkan industri kecil dan sederhana mendapat bantuan perkhidmatan seperti khidmat nasihat mengenai perniagaan, termasuk menilai potensi pasaran hingga kepada daya maju perniagaan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin,(2006) berkata SAC menawarkan lima perkhidmatan teras iaitu nasihat perniagaan, peningkatan perniagaan, maklumat, promosi dan pemadanan perniagaan serta penilaian prestasi. Penubuhan itu dilihat menjadi pemangkin kepada kesinambungan usaha kerajaan menambah baik infrastruktur kewangan sedia ada, meningkatkan produk serta perkhidmatan bagi memastikan pertumbuhan IKS tidak terjejas di samping pelengkap kepada mandat menjadikan SME Bank sebagai pusat sehenti kepada IKS dan PKS menjelang 2010. Menjelang akhir 2007, IKS tempatan akan mempunyai tempat untuk mendapatkan khidmat nasihat atau rujukan sekiranya memerlukan pandangan daripada SAC. Ia ditambah dengan kepakaran yang ditawarkan pusat berkenaan kerana mereka mempunyai kerjasama dengan beberapa rangkaian penyedia perkhidmatan seperti Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (Smidec), Mara, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Perbadanan Nasional Bhd (PNS) dan CIMB.
Kerajaan juga berusaha sebaik mungkin untuk memangkinkan pertumbuhan IKS, termasuk ketika berdepan dengan IKS yang berdaya maju tetapi tiada keupayaan daripada segi kewangan. Ini termasuk menubuhkan Syarikat Jaminan Kredit (CGC) untuk menyediakan jaminan bagi pinjaman yang diambil daripada institusi kewangan. Malah, bagi menggalakkan usahawan IKS meluaskan perniagaan melalui penerokaan pasaran, Export-Import Bank of Malaysia Bhd (Exim Bank) memperkenalkan tiga kemudahan baru khusus bagi membantu mereka meluaskan eksport iaitu kemudahan jaminan luar negara Exim (EOGF), kemudahan kewangan Dapur Malaysia dan pembiayaan pelaburan luar negara (OIF). Usahawan IKS yang ingin meluaskan operasi dan memohon pinjaman dinasihatkan membuat pelan perniagaan yang baik sebelum mengemukakannya kepada bank. Di bawah RMK-9, kerajaan memperkenalkan Dana Pembangunan Sektor Perkhidmatan yang khusus untuk meningkatkan kesedaran produk IKS, membantu usahawan berpotensi dan sedia ada untuk meningkatkan kemahiran teknikal serta membina penguasaan pasaran. Cara terbaik membantu usahawan IKS adalah dengan mendalamkan kesedaran mereka terhadap kepentingan maklumat dalam bidang yang diceburi, termasuk dari segi pemasaran, khidmat nasihat profesional dan pengurusan

KESIMPULAN

Untuk mengharungi zaman yang semakin mencabar ini, usahawan-usahawan baru haruslah sentiasa berfikir dan bersikap seiring dengan peredaran masa. Jangan berada di takuk pemikiran dan sikap yang tradisional dan cubalah untuk berubah untuk menjadi seseorang terkehadapan dari apa-apa pun segi kerana mendahalui persaing-persaing adalah satu kelebihan terhadap diri mereka. Mereka hendaklah memikirkan jalan penyelesaian terhadap segala masalah yang timbul dan tidak hanya bergantung kepada organasasi atau badan kerajaan sahaja untuk mencipta kejayaan dalam perniagaan. Bagi usahawan yang telah gagal, janganlah mudah untuk berputus asa kerana kejayaan akan muncul sekiranya masih mencuba.

BIBLIOGRAFI

Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, Memodenkan Sektor Pertanian
Utusan Malaysia, 13 Sept 2003, Rang Undang-undang Perbekalan (2004) di Dewan Rakyat pada 12 September 2003.

Moha Asri A. (1995).Globalised Economy and Malaysian Policy Supports for SMIs: Some Critical Issues and Needs. International Conference on Globalisation: Local Response and Challenges. 19-21hb Jan. Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Moha Asri A. (1995). Industri Kecil di Malaysia: Kejayaan dan Masa Depan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Moha Asri Abdullah, Juhary Ali & Faoziah Idris. 2001. Pengurusan Perniagaan Kecil. Utusan Publication and Distribution Sdn Bhd. Kuala Lumpur. (MAA)

Osman Jusoh, Abdullah Jusoh, Harieri Kamis.(2006).Asas Keusahawanan. Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Sabri Hj. Hussin, 2002, Pengenalan Kepada Perniagaan, Mengurus Perniagaan Dalam Perspektif Malaysia, Thomson Learning ( A Division of Thomson Asia Pte Ltd ), m/s 2-4.

Sri Diah Shaharuddin. (Januari 2006) Bank SME Harapan Usahawan PKS, Dewan Ekonomi. Media Network Sdn. Bhd. m/s 20-26.

http://www.sme bank.com.my/rmk9.asp.htm

http://www.mecd.gov.my/index.php

http://www.members.tripod.com/kadniss/konsul4.ht

http://www.karangkraf.com.my/E-Majalah/dewanekonomi

http://www.karangkraf.com.my/E-Majalah/dewanmasyarakat

http://www.portalusahawan.com.my

http://www.pts.com.my

No comments: